HASHTAG RASMI

HASHTAG RASMI

28 Jul 2016




Terapkan konsep muafakat, gotong-royong jayakan majlis


JOHOR BAHRU 26 Julai - Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pasir, Tampoi dekat sini, ‘berpesta’ hebat baru-baru ini apabila berlangsungnya majlis sambutan Aidilifitri yang turut melibatkan ibu bapa dan ahli keluarga murid.
Majlis yang diadakan secara penuh muafakat dengan semua pihak ‘turun padang’ menjayakannya itu ternyata mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara warga sekolah dan penduduk di sekitarnya.
Guru besar sekolah tersebut, Rafidah Mohd. Yussup berkata, majlis tersebut berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 900 murid, guru dan kakitangan sokongan serta ahli Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) untuk menyertai pelbagai acara yang diadakan.
     Beliau berkata, program tahunan yang diadakan buat kali ketiga itu bertemakan ‘Raikan Sya­­wal dengan Muafakat’, sempena slogan yang dicetuskan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
“Menerusi slogan itu kita terjemahkan segala persiapan dan persediaan untuk sambutan Aidilfitri dibuat bertunjangkan nilai-nilai murni yang telah diamalkan oleh masyarakat terdahulu termasuk kebersamaan, bertolak ansur dan bergotong-royong serta persefahaman da­lam semua aspek kehidupan.
“Jadi nilai-nilai tersebut kita semarakkan untuk dihayati oleh masyarakat dengan seluruh warga sekolah bergotong-royong dengan mencari buluh dan daun pisang muda untuk membuat lemang yang semua kerja tersebut dilakukan di pekarangan sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, bagi melancarkan sambutan tersebut, murid-murid sesi pagi dibawa meraikan sambutan rumah terbuka, manakala kumpulan murid sesi petang terlibat dengan acara marhaban dari kelas ke kelas.
Seperti kebiasaan sambutan Aidilfitri, hadirin dijamu dengan pelbagai hidangan seperti rendang, sambal kacang, serunding, lontong, sate, lodeh, cendol, ais krim dan kuih-muih serta minuman yang turut disumbangkan oleh pelbagai pihak, khususnya ibu bapa murid.
Malah, persiapan dan rekaan pentas turut ditaja oleh Rozaini Bridal, iaitu ibu kepada salah seorang murid sekolah berkenaan.
Lebih menceriakan suasana, semua 795 murid turut me­nerima duit raya hasil sumba­ngan guru-guru dan kakitangan sokongan yang disampaikan oleh Rafidah yang turut disertai Naib Yang Dipertua PIBG, Abas Said yang juga Ketua Kampung Pasir.
“Bagi memeriahkan majlis, kita turut mengadakan pertan­dingan menganyam ketupat dengan pemenang mendapat tiket Universal Studio Singapura tajaan Rajawali Bintang Travel selain persembahan karaoke raya guru-guru dan murid.
“Usaha kami mengadakan program seumpama ini untuk mewujudkan hubungan yang le­bih baik dan erat serta suasana kerja yang menyeronokkan dalam kalangan guru, murid-murid dan kakitang­an serta penduduk sekeliling khusus­nya PIBG,” kata­nya.
Rafidah ber­ka­ta, dalam maj­­­lis itu turut di­terapkan pendidikan agama, iaitu cara bersalam yang betul dan marhaban yang menjadi tra­disi ma­sya­rakat ne­geri ini dan makanan tra­di­sional.
Dalam majlis itu, pihaknya tu­­­rut meraikan per­saraan dua pe­tugas se­­kolah, ia­itu Ketua Pembantu Pejabat, Zainab Wahab dan Pembantu Operasi, Abu Bakar Moha
mad.

Sumber: Utusan Online 27/07/16

Tiada ulasan:

Catat Ulasan